comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 7 mangsa kepala air dikebumikan

 

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Jenazah tujuh beranak mangsa fenomena kepala air di Jeram Mawar, Sungai Air Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Lepar Hilir 3, di sini malam ini.

Jenazah pasangan suami isteri, Karim Abdullah, 39 dan Azizah Eiyi, 40 serta lima anak mereka Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4 dikebumikan dalam satu liang lahad.

 

Mayat Putri Alleya Maisarah Karim 16 tahun yang dijumpai jam 3.00 petang tadi masih ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dipercayai untuk proses bedah siasat.

Yang belum ditemui, seorang lagi anak pasangan itu, Putri Nor Fatin 14, dan tunang Putri Balqis Izzati, Muhammad Fikri Saliman, 24.

Terdahulu tujuh van membawa semua jenazah dari Kuala Terengganu tiba di Masjid Ubbudiah FELDA Lepar Hilir 3 kira-kira jam 10 malam untuk solat jenazah.

Selesai solat, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3 untuk dikebumikan.

Proses pengkebumian bermula kira-kira jam 10:40 dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Sabtu lalu, 10 mangsa dihanyutkan arus dalam kejadian fenomena kepala air di jeram Sungai Air Putih.

Ketika kejadian semua mangsa dikatakan sedang berkhemah di jeram itu.

Turut hadir dipengkebumian itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Loading...
Terkini