Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 7 kesalahan jalan raya dikuatkuasakan tanpa kompaun

Loke (kiri) dan Alaxander Nanta Linggi (kanan) menyarungkan jaket keselamatan kepada seorang penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 di Hentian Rawat dan Rehat , Dengkil. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 yang tidak dibenarkan kompaun.

Kesalahan itu membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Operasi itu akan bermula esok hingga 28 Januari ini yang akan membabitkan pelbagai pihak penguat kuasa termasuk 2,000 anggota JPJ di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sepanjang tempoh operasi, beberapa aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan merangkumi kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui stesen penguatkuasaan (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.

Turut dilaksanakan ialah persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) secara rondaan di laluan utama jalan persekutuan dan Ops Khas Motosikal yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Uzir Ahmad Wan Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Kesalahan tidak dikompaun akan menyebabkan pesalah perlu terus ‘menjawab’ di mahkamah jika dikenakan tindakan.

Loke juga berkata kadar literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya di negara ini masih belum mencapai tahap boleh dibanggakan berdasarkan jumlah kematian 119 pengguna sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina pada tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga Disember 2021, sebanyak 370,286 nahas jalan raya direkodkan dengan 4,539 kematian.

Menurutnya, bagi Januari hingga September tahun lalu,sebanyak 402,626 nahas jalan raya direkodkan dengan 4,379 kematian.

Katanya, berdasarkan data Ops Selamat daripada pihak polis, sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya dengan 108 kemalangan maut dengan119 kes kematian.

Loke berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan, iaitu pada 20 hingga 21 Januari serta 24 dan 25 Januari.

Menurutnya, larangan ini bertujuan mengelakkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dengan yang ringan di atas jalan raya dan lebuh raya, selain mengelak kesesakan lalu lintas.

Loading...
Terkini