comscore
Tumpuan :
Nasional

69 pelajar sekolah antara 136 ditahan dalam Op Samseng Jalanan

Sebahagian daripada 136 orang yang ditahan polis dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Kelabang Ipoh di Unit Penguatkuasaan Trafik IPK Perak Ipoh. – FOTO: NSTP

IPOH: Seramai 136 individu termasuk 69 pelajar sekolah ditahan polis dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria, di sini, semalam.

Operasi bermula jam 6 petang itu dijalankan sepasukan 79 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua yang ditahan itu terdiri daripada 130 lelaki dan enam wanita yang berusia antara 12 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 22 orang adalah pelajar Tingkatan Lima yang dijadual menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan ini.

“Polis sudah menahan dua suspek lelaki berusia 20-an yang melakukan lumba haram mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tangkapan lain membabitkan dua lelaki berusia 20-an didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semasa pemeriksaan dilakukan seorang anggota berpangkat koperal dilanggar oleh motosikal yang sedang diperiksa menyebabkan kecederaan ringan.

“Kawasan ini adalah hotspot di mana kita mendapat maklumat daripada orang ramai mengadu jalan berkenaan antara tempat digunakan oleh mereka yang merempit, lumba haram dan ramai penontonnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Balai Polis Kampung Tawas, di sini, malam tadi.

Turut terbabit dalam operasi berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintenden Sahimi Husin.

Azizi berkata, hasil operasi yang dijalankan, polis menahan 101 motosikal dan 20 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 168 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan paling serius dikesan adalah menunggang motosikal tanpa lesen memandu.

“Selain itu, 11 notis kompaun dikeluarkan oleh JAS kerana gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini