comscore
Tumpuan :
Nasional

68 premis jual harga ayam lebih tinggi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 68 premis di seluruh negara dikenal pasti menjual ayam pada harga lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan sebelum ini, susulan penamatan subsidi dan kawalan harga ke atas bekalan berkenaan hari ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas 1,484 premis di lokaliti bandar dan luar bandar, setakat jam 1 tengah hari tadi.

“Kalau kita lihat julat harga ada pelbagai, yang paling murah di Mari-Mari Supermarket di Mersing (Johor) iaitu RM6.49 satu kilogram (kg) dan yang tertinggi di Semenanjung adalah di Pasar Basah Rompin (Pahang) dan Pasar Basah Manir (Terengganu) iaitu pada kadar RM11.00 sekilogram.

“Di Sabah, paling murah RM11.20 sekilogram di daerah Sandakan manakala paling mahal RM13 sekilogram di Tawau. Di Sarawak paling murah RM9.80 sekilogram dan paling mahal RM12 sekilogram. Labuan paling mahal RM12.50 sekilogram,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi harga ayam berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, penamatan subsidi ayam dilakukan selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.

Sebelum ini, harga siling ayam ditetapkan RM9.40 sekilogram di Semenanjung serta RM11.30 sekilogram di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas lanjut, ujar Armizan, pihaknya akan meneliti secara mikro dapatan pemantauan tersebut bagi melihat daerah, lokaliti dan jenis premis sama ada pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit atau pasar basah yang menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan sebelum ini.

“Kita ingin memastikan penguat kuasa kita turun ke premis dan melihat apa isu sebenar mereka. Adakah isu bekalan, kos operasi dan sebagainya sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjual di bawah harga di bawah RM9.40 sekilogram (di Semenanjung).

“Macam di Manir khususnya ada kedai yang menjual paling murah RM7.99 per kg. Maksudnya ada yang boleh jual dengan harga murah. Di Rompin ada (premis) boleh jual RM6.99 sekilogram jadi ada jurang harga. Sebab itu kita minta penguat kuasa turun semak kedai dengan harga yang paling mahal itu,” katanya.

Tambah Armizan, penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Selain itu, penguatkuasaan juga di bawah Akta Persaingan 2010 bagi membanteras isu kartel atau pakatan dalam industri ayam untuk menetapkan harga bekalan tersebut mahupun membahagi pasaran dengan tujuan mengganggu persaingan dalam pasaran.

“Dua akta ini kita akan kuat kuasakan untuk pastikan keterjaminan makanan dan bekalan makanan pada harga stabil,” katanya yang turut meminta orang ramai untuk menyalurkan aduan harga ayam tidak munasabah di saluran rasmi KPDN.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini