Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 679 sambungan paip haram setinggan dipotong di Kota Kinabalu sejak Januari


Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: 679 penyambungan paip haram dikesan dan dipotong menerusi operasi berterusan yang dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di sekitar ibu negeri antara Januari hingga Mei lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata operasi JANS itu mensasarkan kawasan setinggan, kebanyakannya di sekitar Sepanggar yang dikenal pasti paling banyak melakukan penyambungan paip secara haram.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 177 penyambungan paip haram dipotong pada bulan lalu, manakala pada April (145), Mac (48), Februari (174) dan sebanyak 135 penyambungan paip haram dipotong pada Januari lalu.

“Secara keseluruhan sebanyak 679 penyambungan paip haram dipotong pihak JANS antara Januari hingga Mei lalu. Antara lokasi tumpuan ialah kawasan setinggan Kampung Delima, Suang Parai, Sepakat Jaya, Jaya Diri dan Kampung Brunei, Sepanggar.

“Operasi pemotongan yang dijalankan pihak JANS ini membantu meningkatkan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya menerusi satu kenyataan berkaitan operasi pemotongan sambungan paip haram di kawasan setinggan sekitar ibu negeri.

Aktiviti penyambungan paip secara haram yang dilakukan penghuni setinggan dikenal pasti antara punca gangguan bekalan air yang dialami di sekitar Sepanggar, termasuk di kampus induk UMS, di sini.

Selain gangguan bekalan, perbuatan menyalahi undang-undang itu juga menyumbang kepada kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi ditanggung pihak JANS.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, JANS merekodkan paling banyak penyambungan paip haram yang dipotong di kawasan setinggan Kampung Brunei Sepanggar iaitu sebanyak 220.

Tambahnya, ia diikuti Kampung Suang Parai (99), Jaya Diri (71), Bahagia (58), Sepakat Jaya (56), Rakyat Baru (40), Lokub (36), 1 Sulaman Jalan Sulaman (25) dan Kingfisher Sulaman (15).

Semalam, penguatkuasa JANS memotong sebanyak 24 lagi penyambungan paip haram di Suang Parai dan Kampung Brunei Sepanggar menerusi operasi berterusan yang dilaksanakan jabatan itu.

Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan, kewujudan koloni setinggan yang besar dianggar mencecah 12,000 rumah di kawasan Sepanggar antara penyumbang masalah bekalan air di UMS.

Jelasnya, masalah timbul berikutan tindakan penghuni setinggan melakukan penyambungan paip haram yang mengakibatkan kira-kira 18 juta liter sehari (MLD) dicuri setiap hari dari paip utama yang membekal air ke UMS dan sekitarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini