Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat, dengan bahagian Serian mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada 15 semalam kepada 18 setakat jam 11 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat daripada 5,002 awal pagi tadi kepada 6,731 orang.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di 48 PPS di enam bahagian iaitu Miri, Bintulu, Sibu, Serian, Samarahan, dan Kuching.
Serian merekodkan jumlah PPS tertinggi dengan 18 pusat yang menempatkan seramai 1,574 mangsa daripada 505 keluarga.
Sementara itu, Bahagian Bintulu yang paling terjejas akibat banjir semalam merekodkan jumlah pemindahan tertinggi, dengan 2,180 mangsa ditempatkan di lapan PPS di kawasan itu.
Di bahagian lain, Sibu mencatatkan seramai 862 mangsa ditempatkan di tiga PPS, Samarahan merekodkan 511 mangsa di lima PPS, Kuching dengan 420 mangsa di lima PPS, manakala di Miri, seramai 310 mangsa ditempatkan di lapan PPS.