comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 67 daerah dikenal pasti berkemungkinan dilanda banjir 

 

BAGAN DATUK: 67 daerah di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan berkemungkinan dilanda banjir susulan Monsun Timur laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Jumlah kawasan yang terjejas itu berdasarkan data dan penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, suatu koordinasi sudah dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua agensi penguatkuasaan terbabit.

“NADMA sudah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk dibangunkan dewan PPK.

“Di sana tandas dan juga tempat mandi disediakan sepenuhnya mengikut jumlah potensi mangsa banjir berdasarkan rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah. Ini (PPK) kita lakukan di tempat-tempat yang sudah dikenalpasti sebagai kawasan yang sering dilanda banjir.

“Berdasarkan METMalaysia dan JPS, terdapat sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara, Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan Bailey sebagai persiapan aspek infrastruktur di kawasan kritikal yang dijangka dilanda banjir besar.

“NADMA sendiri sudah menempah tujuhjambatan Bailey tambahan dan pemasangannya dilakukan oleh jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat pusat.

“Kesiapsiagaan ini termasuklah juga dari segi bantuan dikemukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah kami selaraskan kerana kami menjangkakan MTL bermula pertengahan November ini dan akan berakhir pada pertengahan Mac 2024.

“Tanda-tanda MTL sudah bermula sekarang dengan hujan yang melebihi tahap biasa,” katanya.

Loading...
Terkini