KUALA LUMPUR: 65 peratus penagih dadah yang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah pengguna dadah sintetik terdiri daripada golongan remaja dan belia.
Dapatan AADK juga mendapati pola penyalahgunaan dadah di Malaysia ketika ini sudah beralih kepada dadah jenis sintetik.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, lebih membimbangkan, pengambilan dadah jenis sintetik ini, penagih tidak lagi perlu berada di lokasi tertentu sebaliknya boleh dilakukan di rumah masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari AADK Bersama Masyarakat 2023 di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Shamsul berkata, selain rupa bentuk dan pembungkusannya boleh menyerupai produk-produk biasa, penghasilan dadah sintetik juga boleh dibuat di rumah.
Malah katanya, akses mendapatkan dadah sintetik adalah amat mudah dengan hanya membuat pesanan melalui platform dalam talian dan dihantar melalui khidmat penghantaran sama seperti produk lain.
“Disebabkan itu, kami berpandangan bahawa kawalan kendiri oleh institusi kekeluargaan dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi menghadapi ancaman ini.
“Ketua keluarga perlu menjaga rumah masing-masing sebagaimana KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengawal negara.
“Kami yakin langkah ini akan dapat menyekat permintaan sekali gus mengurangkan permintaan kepada bekalan dadah dan bahan terlarang di negara ini,” katanya.