comscore
Tumpuan :
Nasional

642 mangsa banjir masih berada di lapan PPS Baling

Marina Omar bersama anaknya berada di PPS Kompleks Rakan Muda Batu 42. Foto: NSTP

BALING: Seramai 642 mangsa daripada 210 keluarga masih berada di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 4 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, sejumlah mangsa berpindah ke PPS malam tadi sehingga tengah hari ini selepas hujan lebat sejak jam 6 petang semalam dan berlarutan hingga tengah malam.

Jelasnya, lapan PPS yang masih dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Seri Bayu, Maktab Mahmud Bongor, Surau Kampung Lahar, Dewan Tun Abdul Razak Baling (lama), Dewan Tun Abdul Razak (baru) dan Kompleks Rakan Muda, Batu 42.

Menurutnya, banjir kali kelima ini adalah terburuk berbanding sebelumnya dalam tempoh 12 hari yang menyaksikan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat.

“Hujan lebat berterusan lebih dua jam menyebabkan penduduk yang tinggal berdekatan tebing Sungai Ketil dan Sungai Putih dilimpahi air dengan cepat.

“Antara mukim terbabit adalah Mukim Siong, Pulai, Baling dan Bongor,” katanya.

Mohd Faizol berkata anggota penyelamat dikerahkan untuk membantu penduduk yang terperangkap di beberapa kawasan bagi mengelakkan kejadian buruk kerana air semakin naik sehingga paras satu meter.

Sementara itu, seorang mangsa Marina Omar, 38, dari Kampung Tanjung Merbau berkata mereka sekeluarga berpindah ke PPS Kompleks Kompleks Rakan Muda, Batu 42, jam 7 pagi tadi.

Katanya, air Sungai Ketil naik dengan cepat sehingga paras pinggang menyebabkan mereka terpaksa berpindah kali kedua ke PPS.

“Air masuk kira-kira jam 5 pagi tadi ketika kami sedang tidur. Kami berpindah kerana air semakin naik sehingga paras pinggang,’ katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini