KUANTAN: 63 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi kini dalam proses untuk dibawa pulang.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua rakyat Malaysia termasuklah kanak-kanak itu dijangka pulang ke negara ini minggu depan.
Menurut beliau, hasil perbincangan dengan kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur
“Kita cuba selesaikan dan kemungkinan mereka akan pulang ke Malaysia pada minggu depan. Setakat ini, kerajaan sedang berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan pihak berkuasa di Arab Saudi.
“Sebenarnya, seramai 63 orang ini mengerjakan umrah tetapi mereka tinggal lebih tempoh yang menyebabkan timbul masalah.
“Jadi, kita berbincang untuk memastikan mereka dibawa pulang,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.
Berdasarkan kenyataan Wisma Putra pada 8 Oktober lalu, seramai 63 jemaah umrah itu terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.
Kesemua jemaah sudah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.
Bagaimanapun mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja berjaya membawa pulang lima rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, semalam.
Katanya, lima individu itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Siem Reap, Kemboja pada 12.05 tengah hari.
“Mereka diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.
“Kejayaan membawa pulang mangsa sindiket ini secara berterusan adalah hasil kerjasama rapat antara kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan Kerajaan Kemboja yang turut memberikan perhatian serius berhubung isu ini.
“Setakat semalam, kementerian merekodkan 453 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
“Daripada jumlah itu, seramai 269 sudah dihantar pulang manakala 52 lagi masih berada di depoh imigresen di empat negara itu bagi proses selanjutnya.
“Kementerian juga akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesan 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini,” katanya. – HARIAN METRO