Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Sebanyak 627,491 akaun bil elektrik domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipotong pada tahun ini dengan jumlah tunggakkan melebihi RM1 bilion.
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Berdasarkan statistik TNB, terdapat peningkatan bilangan akaun dan jumlah amaun tunggakan bil elektrik yang terlibat dalam proses pemotongan bekalan elektrik bagi tahun 2024 berbanding 2023.
“Sebanyak 464,076 akaun telah dipotong dengan jumlah tunggakan sebanyak RM945,435,794.07 direkodkan pada tahun 2023. Manakala sehingga September 2024, bilangan akaun dipotong telah meningkat kepada 627,491 dengan amaun tunggakan berjumlah RM1,008,771,447.78,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Ujarnya, tindakan pemotongan oleh TNB itu berdasarkan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.
Tambah Akmal, antara sebab yang dikenal pasti adalah kekangan kewangan, sikap sambil lewa pengguna kerana kebanyakkan nama pengguna berdaftar bukan pemilik premis dan sikap pengguna membayar pada saat akhir.
“Daripada statistik tersebut, lima negeri yang merekodkan jumlah akaun dan tunggakan yang tertinggi bagi tahun 2023 ialah Selangor, Terengganu, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
“Manakala sehingga September 2024 pula adalah daripada Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut jelas Akmal, sehingga kini seramai 10.4 juta pengguna berdaftar dengan TNB melibatkan 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bilik elektrik dan jumlah tunggakan mengikut negeri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.