Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: 620,000 pekerjaan atau 18 peratus daripada 3.5 juta pekerja dijangka terjejas secara signifikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dan perlu dipertingkatkan kemahiran mereka.
Itu adalah hasil kajian impak kecerdasan buatan (AI), digital, dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, kesemua data ini terdapat di portal baharu MyMahir yang boleh diakses oleh orang awam.
“Laporan dapat dilihat dalam platform MyMahir. Talent Corp sentiasa kemas kini perubahan dalam portal MyMahir untuk rancang dasar agar syarikat, PKS boleh lihat apa trend pada masa hadapan dan universiti, buat persiapan.
“Kita bukan kata 620,000 hilang pekerjaan. Dengan adaptasi teknologi, 620,000 pelbagai sektor akan mendapat kesan pindah ke bahagian lain atau kerja lain. Kita ingin tahu tempat impak dalam pekerjaan. Latihan kemahiran diteruskan di bawah KESUMA. Laporan ini akan bantu kerajaan merangka strategi lebih tepat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran laporan kajian impak berkenaan di ibu negara, hari ini.
Bagi tahun 2025, KESUMA mempunyai dana lebih kurang RM3 bilion untuk pelbagai agensi termasuk 33 institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Talent Corp, PERKESO dalam memberi kursus meningkatkan kemahiran.
Selain itu, KESUMA akan meneruskan kajian di fasa kedua di mana melibatkan 12 lagi sektor tambahan sebagai usaha kerajaan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan pekerjaan dalam masa hadapan.
“Untuk fasa kedua ini sudah tentu kita akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain khususnya Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melihat trend akan datang.
Pada masa sama, KESUMA juga akan melancarkan portal baharu, iaitu satu konsep latihan kemahiran yang akan diseragamkan dengan portal MyFutureJobs.
“Kita ada portal MyMahir untuk isu berkaitan dengan analisa trend pekerjaan, nanti ada portal untuk latihan kemahiran dan kemudian ada portal MyFutureJobs di mana ia akan memberi maklumat tentang peluang pekerjaan yang akan dipadankan mengikut kemahiran yang telah dipelajari.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.