KUANTAN: Lebih 60 kediaman di tujuh kampung sekitar daerah ini rosak dilanda ribut petang kelmarin ketika semua mangsa sedang bersiap untuk menyambut ketibaan Aidiladha, esok.
Tujuh kawasan itu membabitkan Rancangan Rumah Murah (RRM) Batu Tiga Setengah, Taman Seri Belat, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia, Kampung Penor dan Taman Penor Makmur.
Pemilik kediaman terjejas di Taman Penor Makmur di Jalan Kuantan-Pekan, di sini, Mohd Nazry Mansor, 46, mengakui reda dengan ujian menimpa keluarganya itu yang menyebabkan keseluruhan atap rumah yang baharu didiami itu diterbangkan angin kencang.
Dia antara 15 pemilik kediaman di kawasan itu yang mengalami kerosakan pada bahagian atap dalam kejadian ribut kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Mohd Nazry berkata, dia sekeluarga memutuskan untuk menyambut Aidiladha di rumah baharu buat kali pertama selepas berpindah akhir tahun lalu, namun ternyata impian berkenaan tidak dapat menjadi kenyataan.
Katanya, keseluruhan atap serta bumbung bahagian ruang tamu rumahnya diterbangkan angin menyebabkan siling kapur runtuh berikutan hujan lebat.
“Ketika kejadian saya dan keluarga dalam perjalanan pulang dari Pekan sebelum dihubungi jiran memaklumkan rumah kami rosak berikutan angin kencang.
“Saya sangkakan hanya kerosakan kecil, namun terkejut sebaik sampai apabila melihat keseluruhan atap dan bumbung sudah hilang,” katanya yang turut memaklumkan perabot serta sofa termasuk barangan elektrik seperti kipas, lampu dan televisyen
semuanya basah dan talian elektrik juga terputus.
Tambahnya kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira RM40,000 dengan pemaju segera menutup sementara bahagian bumbung menggunakan dengan plastik.
“Saya tidak pasti bila rumah berharga RM177,000 ini dapat dibaiki, difahamkan minggu depan wakil syarikat insurans akan datang untuk membuat penilaian kerosakan,” katanya yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Sementara itu tinjauan di Taman Penor Makmur mendapati kerja membersih sisa atap rumah yang diterbangkan angin kencang dilakukan kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan pemaju perumahan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif mengesahkan 62 rumah tujuh kawasan terjejas dan setiap mangsa layak menerima bantuan bencana disediakan kerajaan negeri dan agensi kerajaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.