Tumpuan :
Nasional

61 polis KL terima Pingat Jasa Pahlawan Negara

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa (tengah) pada sidang media hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 61 polis kontinjen Kuala Lumpur hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai penghargaan atas pengorbanan dan bakti kepada negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata penerima PJPN terdiri daripada lima pegawai rendah dan seorang pegawai kanan polis yang masih berkhidmat serta 55 pesara polis.

Katanya, PJPN dianugerahkan kepada petugas polis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu.

“Ia bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960 dan Era Insurgensi Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Malaysia, juga bagi Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat.

“Penganugerahan ini juga salah satu bentuk penghargaan kepada mereka selain memupuk semangat juang yang tinggi dalam memotivasikan pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis untuk meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang.

“Pengurniaan pingat ini membuktikan jasa-jasa mereka meniadi ingatan dan tauladan untuk generasi pada hari ini,” katanya pada sidang media sempena Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Datuk Azry Akmar Ayob, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh.

Terdahulu, majlis penganugerahan PJPN kontingen Kuala Lumpur diadakan secara tertutup di Sri Satria, Ibu Pejabat Polis KL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini