comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 6,000 anggota polis ditugaskan untuk PRN Pulau Pinang

 

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 6,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, selain penugasan sumber tenaga, Polis Kontinjen Pulau Pinang telah melakukan persediaan yang secukupnya bagi menghadapi PRN.

“Kita memang telah melakukan persiapan untuk menghadapi PRN bermula daripada proses penamaan calon, kempen, undi awal, hari pengundian serta keadaan pasca-PRN.

“Setakat ini, kekuatan tenaga yang disediakan untuk menghadapi PRN adalah lebih 6,000 anggota dan kalau perlu kita akan minta bantuan daripada kontinjen lain.

“Secara umum, Kontinjen Pulau Pinang bersiap siaga dengan segala persiapan untuk menghadapi PRN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, pagi tadi.

Jelas beliau, pihaknya juga akan memohon bantuan daripada Bukit Aman serta kontinjen lain sekiranya diperlukan kelak.

Tambahnya lagi, Op Cantas juga akan dilaksanakan sepanjang PRN bagi memastikan tiada kekecohan berlaku yang mampu mengganggu perjalanan PRN.

“Kita akan lakukan Op Cantas dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman supaya tindakan awal dilakukan ke atas sesuatu yang kita jangka boleh mencetuskan kekecohan.

“Selain itu, terdapat juga bantuan daripada pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron, Pasukan Penggempur Ringan (LSF), pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah untuk negeri ini.

“Selain itu, kita juga berharap dan menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan agar proses PRN nanti berlangsung dengan lancar,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubar pada 28 Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Sehubungan itu, beliau dijadualkan untuk menghadap dan mempersembahkan perkara itu kepada Yang DiPertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Jun.

Loading...
Terkini