![](https://media.buletintv3.my/2023/08/M9BpUPgp-BULETIN-TV3-37.jpg)
Oleh : Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Lebih 60 peratus cadangan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada penjawat awam menerusi sesi libat urus dan portal Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkait struktur gaji serta elaun.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed berkata, sebanyak 30,155 cadangan diterima membabitkan 15,495 responden daripada sesi libat urus dan portal yang dibuka sejak 26 Julai hingga 7 Ogos lalu.
Beliau berkata, masing-masing 23 peratus responden mencadangkan supaya struktur gaji penjawat awam dikaji semula serta pembaharuan dan kenaikan elaun.
Sebanyak 18 peratus responden mencadangkan pemberian kemudahan kepada penjawat awam terutama yang berkhidmat di luar kawasan atau di luar bandar.
Cadangan lain termasuk dari segi struktur perkhidmatan, skim perkhidmatan, prestasi dan kompetensi, kemajuan kerjaya dan ganjaran.
“Ini yang ditekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk JPA bersama semua ketua setiausaha (KSU) kementerian supaya memberikan pertimbangan agar gaji penjawat awam ini diberi sedikit kenaikan, mungkin dari segi elaun supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang agak selesa berbanding keadaan sekarang kerana kos hidup yang agak tinggi,” katanya.
Zulkapli berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Hala Tuju SSPA bersama KSU dan pengurusan tertinggi kementerian, di sini hari ini.
Jelasnya, kajian berkenaan akan memakan masa selama setahun setengah hingga dua tahun kerana melibatkan keseluruhan sistem sumber manusia dalam sektor awam.
Ia membabitkan perubahan struktur kepada tiga skop kerja iaitu kemampaman sistem saraan , pengurusan pembangunan dan organisasi serta pengurusan bakat.
Mengulas lanjut, Zulkapli berkata, laporan interim sebahagian kajian tersebut akan dibentangkan pada hujung September ini antara lain mengenai saraan yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1.85 juta penjawat awam.
“Bagaimanapun Perdana Menteri telah bersetuju supaya kita memberi fokus untuk melihat dari segi struktur gaji dan elaun. Setiap kali apabila berlaku kajian ini, sudah tentu akan berlaku kenaikan gaji kepada perkhidmatan awam. Jadi kita mengharapkan dalam masa terdekat iaitu Oktober hingga Januari depan akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, mesyuarat juga bersetuju supaya mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Kajian SSPA yang dipengerusikan Perdana Menteri diadakan pada awal September.
Ditanya sama ada cadangan peratusan kenaikan gaji penjawat awam telah dimuktamadkan, Zulkapli memaklumkan, ia belum ditentukan lagi kerana perlu melihat dari sudut pembangunan dan ekonomi negara.
“Kita akan maklum apa patut diperolehi berdasarkan kedudukan kewangan negara dan kita tidak akan memberikan satu kadar yang boleh menjejaskan keupayaan membayar gaji kepada penjawat awam dan kita pun nak elakkan berlaku kenaikan harga yang agak tinggi di pasaran apabila gaji dinaikkan,” katanya.
7 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 2 Tahun 2023 pada dasarnya bersetuju Kajian SPPA dilaksanakan selari pengumuman Anwar supaya semua sistem saraan perkhidmatan awam disemak semula seiring aspirasi Membangun Malaysia MADANI.
Kali terakhir semakan sistem saraan tersebut adalah pada 2002 dan pelarasan gaji terakhir pada 2013.