KUALA LUMPUR: 60 pengunjung pusat hiburan ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam serbuan Op Khas Hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini, Sabtu lalu.
Serbuan kira-kira jam 4.30 pagi di premis berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM63,000.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, ketika serbuan seramai 181 pengunjung berada di dalam premis diperiksa pasukan polis.
“Daripada jumlah itu, seramai 60 individu berusia antara 20 hingga 42 tahun didapati positif dadah dan disyaki terbabit penyalahgunaan bahan terlarang itu.
“Kesemua mereka yang terdiri daripada 56 warga tempatan dan empat warga asing ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan turut merampas 393.1 gram dadah jenis MDMA, ketamin (22.9 gram) dan ganja (0.8 gram) yang bernilai RM63,530.
Katanya, semakan lanjut mendapati premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan sah.
“Sampel ujian urin dan dadah kesemua yang ditahan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang terbabit aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.