Tumpuan :
Nasional

6 termasuk seorang wanita ditahan kerana menyeludup pelbagai barangan

Kerbau antara dirampas dalam operasi berkenaan. FOTO: Ihsan PGA

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan enam penyeludup termasuk seorang wanita yang membawa pelbagai barangan seludup termasuk kosmetik dan petrol di empat lokasi berlainan di Rantau Panjang dan Tumpat, semalam.

Tangkapan kesemua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota PGA menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mereka yang ditahan membabitkan aktiviti penyeludupan barangan runcit, kosmetik, kerbau, beras dan petrol.

Katanya, daripada enam suspek berkenaan, lima ditahan di tiga lokasi di Rantau Panjang, manakala seorang suspek wanita ditahan di Tumpat.

“Hasil tangkapan yang dilakukan antara 1.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk seekor kerbau, barangan runcit, kosmetik, beras dan petrol membabitkan nilai lebih RM53,000 termasuk rampasan sebuah kereta.

“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Balai Polis Rantau Panjang dan Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983; Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya mendapati penyeludup terbabit mengambil upah menjadi penghantar barangan seludup dengan nilai upah diterima serendah RM50 sehingga RM250 bergantung kepada barangan yang dibawa.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini