Tumpuan :
Nasional

6 termasuk kanak-kanak terselamat, kereta diseret treler

YAN: Seorang wanita warga emas 70 tahun bersama empat cucunya serta pembantu rumah terselamat selepas Perodua Myvi dinaiki mereka diseret treler.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang tadi ketika kenderaan dipandu wanita warga emas itu dari arah Yan menuju Tanjung Dawai membelok untuk memasuki simpang tiga dekat Singkir, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Musa Rabien berkata, ketika itu sebuah treler dari arah bertentangan tidak sempat berbuat apa-apa dan terus mengheret Perodua Myvi berkenaan sehingga masuk ke sebuah kedai runcit.

“Mujur pemandu treler sempat menekan brek menyebabkan impak kemalangan tidak berapa kuat.

“Ketika kejadian ada enam orang dalam kereta termasuk empat kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun,” katanya ketika dihubungi BH.

Musa berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

“Pemandu treler tidak cedera dan lelaki itu bersama kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Yan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini