KUALA LUMPUR: Enam individu yang didakwa terbabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd antara 0 warga Malaysia disenaraikan sebagai individu dikehendaki menerusi Notis Merah dikeluarkan polis antarabangsa (INTERPOL) setakat ini.
Maklumat peribadi dan foto empat daripadanya didedahkan kepada umum menerusi laman sesawang INTERPOL, manakala maklumat enam lagi individu buruan itu diklasifikasikan sebagai edaran dalaman pihak berkuasa 195 negara ahli INTERPOL saja.
Enam individu itu yang didakwa terbabit skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd ialah ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low; Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Mereka yang disenaraikan dalam Notis Merah adalah individu dikehendaki sesebuah negara untuk pendakwaan atau menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.
Peranan INTERPOL adalah membantu polis sesebuah negara mengenal pasti dan mencari suspek dengan tujuan menangkap serta ekstradisi mereka atau tindakan sah seumpamanya.
Menerusi semakan di laman sesawang INTERPOL, seramai 25 individu disenaraikan sebagai individu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia menerusi Notis Merah dikeluarkan INTERPOL setakat ini.
Daripada keseluruhan 25 individu itu, dua adalah warga Malaysia iaitu bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibu.
Seorang lagi warga Malaysia dalam senarai itu adalah ejen insurans wanita, Kueh Koh Ing yang diburu kerana terbabit tiga kes penipuan skim insurans tidak wujud berjumlah RM10,000.
Selebihnya 23 lagi individu dalam senarai Notis Merah INTERPOL adalah warga asing yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai kesalahan jenayah dilakukan di negara ini.
Empat daripadanya adalah suspek warga Korea Utara yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang berlaku pada 13 Februari 2017.
Mereka adalah Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Ri Jae Nam dan Hong Song Hac, dengan usia masing-masing kini antara 39 hingga 62 tahun.
Turut tersenarai, masing-masing seorang warga United Kingdom, Romania, Belgium, Vietnam dan China, masing-masing dua warga Bangladesh dan Myanmar serta 10 warga Thailand termasuk seorang wanita.
Terdapat tiga jenis kesalahan jenayah dinyatakan untuk setiap individu diburu pihak berkuasa Malaysia iaitu kes bunuh, culik dan penyeludupan migran, selain satu kes penipuan oleh Koh Ing.
Semua maklumat peribadi dan gambar 25 individu disenaraikan dalam Notis Merah berkenaan dipaparkan di laman sesawang INTERPOL dan dikategorikan sebagai maklumat terbuka untuk awam.
Sementara itu, dua lagi warga Malaysia tersenarai dalam Notis Merah INTERPOL namun dikehendaki pihak berkuasa negara lain iaitu Hong Kong dan Singapura atas kes penyelewengan wang dan kes bunuh.
Pada pertengahan Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan Notis Merah terhadap enam individu berkait kes 1MDB dan SRC itu masih aktif dan berkuat kuasa sehingga kini.
Bagaimanapun, maklumat mengenai enam penama berkait kes 1MDB itu itu tidak didedahkan di laman sesawang INTERPOL kerana ia dikategorikan sebagai terhad untuk sebaran dan kegunaan dalaman pihak berkuasa 195 negara ahli INTERPOL.