Tumpuan :
Nasional

6 stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling dihentikan mulai 2 April

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) di enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dihentikan bermula 2 April ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

“Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

“Bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas LRT 11 sedia ada,” katanya.

Katanya, laluan perkhidmatan bas itu akan meliputi Bas LRT 11 dari LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya-LRT PWTC-LRT Titiwangsa-LRT Sentul-LRT Sentul Timur.

“Bagi Bas Ekspres LRT 13 pula dari LRT Masjid Jamek-LRT Sentul-LRT Sentul Timur dan Bas Ekspres LRT 14 dari LRT Masjid Jamek-LRT Titiwangsa.

“Perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan 40 bas dan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa,” katanya.

Menurutnya, bermula 2 April ini juga, perkhidmatan bas LRT 9 (LRT Hang Tuah-LRT Bandaraya) dan bas LRT 10 (LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya) akan ditamatkan.

“Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang sudah disediakan.

“Penguatkasaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan laluan bas ini tidak disalahguna oleh kenderaan lain,” katanya.

Katanya, penumpang juga disarankan menggunakan laluan rel alternatif bagi yang menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.

“Bagi penumpang yang mahu ke Chan Sow Lin pula boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

“Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini,” katanya.

Menurutnya, anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditempatkan di stesen-stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.

“Rapid Rail memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang. Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang,” katanya.

Loading...
Terkini