Tumpuan :
Nasional

6 remaja lelaki ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

Enam penunggang motosikal yang juga remaja lelaki ditahan selepas didapati menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya di jalan raya ketika Op Samseng Jalanan dilakukan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, awal pagi tadi. – FOTO: Polis Daerah Johor Bahru Selatan / Facebook

JOHOR BAHRU: Enam remaja lelaki ditahan selepas didapati menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, aksi remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata, enam motosikal turut disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah melaksanakan operasi khas bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di beberapa lokasi hotspot sekitar bandar raya ini.

“Selain penunggang motosikal ditahan dan motosikal disita, kita turut mengeluarkan 10 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan ubah suai struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi bermula jam 4.15 pagi itu membabitkan seorang pegawai dan lapan anggota memfokuskan pemeriksaan terhadap penunggang dan kenderaan yang terbabit dalam aktiviti membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini