KUALA LUMPUR: Enam rakyat Malaysia membabitkan lima doktor pakar dan seorang kakitangan logistik terkandas di sebuah hospital di Rafah, Palestin selepas memasuki zon peperangan antara Palestin dan Israel itu sejak 1 Mei lalu.
Berdasarkan rakaman disiarkan seorang daripadanya, pakar bedah am memperkenalkan diri sebagai Dr Hanif berkata, mereka masih berlindung di hospital itu sambil merawat pesakit yang dibawa ke hospital berkenaan.
Dr Hanif berkata, mereka sedang menunggu arahan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk keluar secepat mungkin apabila pintu sempadan dibuka semula oleh rejim Israel.
“Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Saya Dr Hanif, pakar bedah am dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kami sekarang ini berada di hospital (tidak jelas sebutan nama hospital dalam rakaman) di Rafah.“… dan masuk ke Palestin sejak 1 Mei lalu dan kami bersama Mercy di bawah payung WHO, EMT (Mercy Malaysia’s Emergency Medical Team).
“Kami stuck (tersekat) di sini sejak ground invasion (pencerobohan darat) berlaku. Sekarang kami masih lagi ‘station’ di sini dan hospital ini masih digazetkan sebagai zon selamat untuk kami berteduh (berlindung) dan terus bekerja di sini merawat pesakit yang dibawa ke hospital.
“Di hospital juga telah cuba buat evakuasi, mereka cuba membawa peralatan semua ke field hospital yang sedang diguna.
“Kami sedang menunggu arahan daripada WHO dan UN untuk keluar secepat mungkin apabila sempadan Rafah dibuka oleh Israel. Jadi, doakan kami semua di sini.
“Insya-Allah doa anda adalah amat penting bagi kami,” katanya dalam rakaman itu.
Dr Hanif berkata demikian dalam rakaman video ketika berhubung dengan selebriti media sosial, Caprice di laman Instagram penyanyi rap berkenaan sebelum ia tular di media sosial.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia Mohd Hafiz Mohd Amirrol ketika dihubungi berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat berkongsi sebarang maklumat atas faktor keselamatan.
“Kami tak dapat nak kongsikan apa-apa buat masa ini demi keselamatan dan proses mengeluarkan ahli pasukan di sana.
“Insya’Allah, team (pasukan) semua okay dan sihat walafiat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.