PASIR MAS: Semua pihak diminta menghormati undang-undang Thailand dan memberi ruang kepada pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan berhubung penahanan enam rakyat Malaysia di Sungai Golok, Narathiwat pada 1 Nov lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana kesemua mereka melakukan kesalahan di sana dan kes berkenaan tertakluk di bawah undang-undang Thailand.
“Setakat perkembangan semasa oleh Ketua Polis Kelantan (Datuk Mohd Yusoff Mamat) yang saya ikuti, kesemua mereka telah dituduh di mahkamah dan status mereka direman selama tiga bulan di negara itu,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan terkini enam rakyat Malaysia yang ditahan kerana dadah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga, di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan menyemak kesalahan-kesalahan membabitkan enam rakyat Malaysia itu, yang dilakukan dalam negara seperti cara kemasukan ke negara jiran itu.
“Ya, kita perlu siasat juga sama ada mereka ini masuk ke sana (Thailand) melalui jalan rasmi atau lorong tikus dan lain-lain jenayah lagi,” katanya.
Pada 1 Nov lepas, enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada 6 pagi.
Hasil pemeriksaan di dalam bilik terbabit telah menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.
Dilaporkan dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang. -BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.