
KUALA LUMPUR: Enam individu termasuk tiga penyampai radio selesai memberi keterangan di Bukit Aman, di sini, berhubung dakwaan mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial sebuah stesen radio swasta.
Mereka dilihat keluar daripada perkarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, selepas lebih dua jam dirakam keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Toyota Vellfire membawa tiga penyampai berkenaan idilihat keluar pada jam 1.10 tengah hari tanpa menyapa wartawan yang menunggu di luar sejak pagi tadi.
Dipercayai tiga kakitangan lain yang turut dirakam keterangan menaiki kenderaan berasingan.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, enam individu terbabit dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi.
Mereka diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Setakat ini ujarnya, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.