comscore
Tumpuan :
Nasional

6 penternak kena kompaun akibat masalah lalat

Foto hiasan

NIBONG TEBAL: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengeluarkan enam kompaun terhadap penternak unggas di Seberang Perai Selatan, di sini yang tidak menguruskan sisa dengan baik hingga menyebabkan masalah lalat di daerah itu berleluasa.

Kompaun berkenaan dikeluarkan dalam pemeriksaan yang dijalankan dari 19 Februari hingga 30 April lalu.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata dalam pemeriksaan itu turut menjumpai ulat ‘maggot’ di dalam najis ternakan, sekali gus mengundang kepada permasalahan lalat yang tidak terkawal.

“JPV Pulau Pinang telah melaksanakan pemeriksaan ladang ke ladang untuk memberikan khidmat nasihat kepatuhan kepada syarat pelesenan dan sepanjang tempoh itu juga, pihak jabatan telah mengenal pasti ladang-ladang unggas hotspot (tumpuan) dengan masalah lalat.

“Hasilnya, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan kepada ladang unggas atas kesalahan masalah lalat dan menjumpai maggot di dalam najis dengan nilai kompaun sebanyak RM7,500 bagi kesalahan pertama dan akan berterusan kepada RM10,000 dan RM15,000 bagi kesalahan kedua dan ketiga,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Saira berkata, selain tindakan kompaun, JPVPP juga menasihatkan penternak untuk membuat semburan lalat berjadual terutamanya semasa proses pengeluaran ayam serta melaksanakan pembersihan najis segera.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan lesen kepada penternak unggas yang menjalankan penternakan melebihi 10,000 ekor dan ke atas pada 19 Februari 2024.

“Sebanyak 187 ladang unggas telah dilesenkan iaitu 115 di Seberang Perai Selatan. JPVPP memberikan tempoh sehingga 30 April 2024 untuk penternak unggas yang berlesen untuk mematuhi syarat pelesenan.

“Antara syarat pelesenan utama yang perlu dipatuhi adalah pengurusan sisa unggas dengan baik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penduduk Sungai Bakap berharap wakil rakyat yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 6 Julai ini dapat menyelesaikan permasalahan lalat yang menghantui mereka.

Ini selepas masalah serangga itu menimbulkan rasa tidak selesa termasuk boleh menjejaskan kesihatan penduduk dekat situ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini