Oleh: Safwan Sawi
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara China ke negara asal, semalam.
Proses pemindahan dijalankan menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tawau secara terus ke Guangzhou, China.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai enam lelaki dewasa sahaja.
Beliau berkata, penghantaran itu membabitkan pemindahan tahanan warganegara China yang berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun.
“Pemindahan semua PATI warga China telah dilaksanakan dari Depot Imigresen Tawau melalui Lapangan Terbang Tawau, menggunakan pengangkutan udara Batik Air untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China.
“Semua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal selepas lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut SH Sitti Saleha, kesemua PATI yang dipindahkan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, seramai 42 tahanan warganegara China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8,157 warganegara asing yang telah dipindahkan ke negara asal.
Kesemua tahanan PATI terbabit akan disenaraihitamkan dalam sistem JIM mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.