KUALA TERENGGANU: Gara-gara berkelakuan sumbang di tempat awam, enam pasangan kekasih ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Pasangan terbabit berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun ditahan dalam operasi pemantauan dan pencegahan maksiat yang diadakan di sekitar bandar Kuala Terengganu dan pantai Batu Buruk di sini awal pagi tadi.
Penolong Pegawai Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md. Nordin Abd Aziz berkata, pasangan terbabit ditahan semasa berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketika ditahan, mereka berada di dalam kereta yang diparkir di kawasan gelap.
Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan terbabit juga tiada ikatan perkahwinan.
Kebanyakan pasangan yang ditahan memberi alasan datang ke situ untuk melepas lelah selepas baru pulang dari kerja.
Kesemua mereka kemudian dilepaskan dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Isnin depan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2001 pindaan 2006 iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Sabit kesalahan boleh denda RM1,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya.
Operasi bermula jam 1 hingga 4 pagi itu turut dibantu anggota PDRM, ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Sri Ladang dan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu.