
KUALA LUMPUR: Enam negeri termiskin tidak seharusnya hanya mengharapkan peruntukan tinggi terus disalurkan oleh Kerajaan Pusat, sebaliknya mereka perlu berusaha untuk memastikan jurang kemiskinan antara negeri dikecilkan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hakikatnya enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
Beliau berkata, peruntukan yang tinggi itu disalurkan secara berterusan Kerajaan Pusat sejak 2021.
“Itu (peruntukan tinggi) dikekalkan. Cuma saya berharap, bahawa untuk menutup jurang ini bukan diserah kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata, ini tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing.
“Supaya bila ada hubungan begini, kita boleh tarik pelaburan dan perniagaan untuk masuk. Kalau semata-mata dilihat hanya untuk menutup jurang (kemiskinan) ini adalah dengan permohonan untuk mendapatkan peruntukan yang besar daripada kerajaan Persekutuan, itu sudah berlaku dari 2021 dan diteruskan sehingga sekarang.
“Tetapi tidak ada tanda-tanda jurang itu akan ditutup dengan baik di beberapa negeri. Saranan saya, kerajaan negeri itu pun perlu menyambut baik dan mempunyai kerangka baik ekonomi yang mesra perniagaan yang perlu diusahakan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai penambahbaikan dilaksanakan bagi memperkemas dan memperkasa proses pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Rafizi berkata pelaksanaan projek pembangunan kini dipecahkan kepada dua kategori.
“Projek bernilai tinggi dengan kos melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula rancangan pembangunan antara 1 hingga 31 Mac 2025. Sekiranya tidak dikemukaan kali ini, peluang seterusnya adalah pada 2027.
“Bagi projek yang bernilai di bawah RM300 juta, itu boleh dikemukakan setiap tahun menerusi ‘rolling plan’ seperti biasa. Tujuan kita pisahkan begini kerana satu faktor yang menyumbang pada pelaksanaan projek yang cacamerba ialah kerana perancangan yang dibuat itu tidak berpadanan dengan saiz projek,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.