ALOR GAJAH: Enam motosikal musnah dalam kebakaran di parkir rumah pangsa, Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, petang tadi.
Laporan mengenai kejadian diterima kira-kira jam 2.35 petang daripada orang awam yang mengatakan terdapat beberapa buah motosikal terbakar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, daripada keterangan saksi awam memaklumkan dia melihat kepulan asap keluar dari dalam sebuah daripada enam motosikal terbabit.
“Kebakaran berjaya dipadam oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi sebelum siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Siasatan bomba kemudian mengenal pasti punca kebakaran disebabkan sebuah daripada motosikal terbabit berlaku kerosakan pada sistem pendawaian dan api merebak ke motosikal lain,” katanya.
Menurut beliau, daripada siasatan dilakukan pihak polis pula menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tiada kelihatan sesiapa yang datang ke tempat motosikal terbakar sebelum kejadian.
“Susulan itu polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah di dalam kejadian ini selain jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.32 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi pasukan bomba mendapati terdapat enam motosikal pelbagai jenis terbakar dengan anggaran 90 peratus musnah.
“Operasi tamat pada jam 4.21 petang dan pasukan bomba meninggalkan lokasi selepas memastikan tiada sebarang kemerbahayaan,” katanya.