Tumpuan :
Nasional

6 kilang perabot terbakar, seorang pekerja cedera 

SUNGAI BULOH: Seorang lelaki warga asing cedera dalam kebakaran enam kilang pembuatan peralatan perabot di Jalan 71, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai pekerja salah satu daripada kilang terbabit, telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya masih menjalankan operasi pemadaman dan api dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya esok.

Ketika ini sembilan buah jentera dari empat balai bomba terlibat dalam operasi itu iaitu Sungai Buloh, Selayang, Damansara dan Rawang.

“Proses pemadaman sedang dijalankan pada masa ini dan api berjaya dikawal” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini