
JOHOR BAHRU: 23 mangsa banjir diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor selepas terperangkap di rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Paya Kenanga di Tebrau di sini pada awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 awal pagi hari ini.
Susulan itu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)dengan kekuatan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau ke tempat kejadian.
Sebaik tiba di lokasi, didapati seramai 23 mangsa terperangkap.
“Semua mangsa diselamatkan dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mutiara di sini.
“Mereka membabitkan enam keluarga termasuk tiga wanita warga emas, dua bayi, lima lelaki dewasa, lima wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Operasi tamat pada jam 7.45 pagi,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Sementara itu, komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Iszahwati Supardi berkata, seramai 17 mangsa banjir membabitkan dua keluarga di Jalan Kampung Sentiasa Damai 8 dipindahkan ke Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini.
Menurutnya,seramai enam anggota daripada Balai Bomba Pasir Gudang dengan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.29 awal pagi hari ini.
“Mangsa termasuk seorang wanita warga emas, seorang lelaki dewasa, empat wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan seorang bayi.
“Operasi tamat pada jam 3.36 pagi hari ini,” katanya.