Tumpuan :
Nasional

6 individu ditahan bantu kes abai kanak-kanak perempuan tiga tahun

Foto hiasan

KUANTAN: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan meninggal dunia pada 20 Februari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka termasuk pasangan suami isteri yang berumur antara 17 dan 44 tahun ditahan reman selama seminggu bermula hari ini hingga 5 Mac depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Berdasarkan laporan, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan yang dibawa saudara mangsa kerana tidak sedarkan diri kira-kira 10 malam, 19 Februari lalu.

“Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki yang ketika itu mangsa ditempatkan di zon merah untuk pemeriksaan susulan.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia pada keesokannya (20 Februari lalu).

“Berikutan itu, enam individu itu ditahan di sekitar daerah ini, semalam untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Meraikan 114 Pesara Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Yahaya berkata, setakat ini, pihaknya sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk mengetahui punca kematian kanak-kanak itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini