![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TEMPLATE-CMS-65.jpg)
KUALA LUMPUR: 6 individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana disyaki memuat naik kandungan palsu dan jelik berhubung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform Facebook.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, satu operasi pemeriksaan dijalankan di Setapak melibatkan seorang suspek yang didakwa memuat naik kandungan berkaitan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Susulan itu, MCMC menyita sebuah telefon pintar dan kad SIM bagi membantu siasatan, dan analisis forensik akan dilakukan untuk mengumpul bukti.
“Satu lagi kes akan disiasat bersama Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, dengan suspek dijadualkan memberi keterangan esok,” katanya.
Sementara itu, MCMC berkata siasatan terhadap empat suspek lain akan diteruskan sepanjang minggu ini di beberapa lokasi termasuk Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian, dan Teluk Intan.
Terdahulu, dua individu telah menerima notis untuk hadir memberi keterangan kepada MCMC berkaitan kandungan yang mereka muat naik di Facebook.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan palsu yang boleh mencetuskan panik dan kegusaran masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.