JOHOR BAHRU: Polis menahan enam individu termasuk dua wanita minggu lalu bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berkaitan penjualan sijil cuti sakit disyaki palsu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan jam 10.05 pagi, 17 Oktober lalu berkaitan sijil cuti sakit palsu daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun.
Pada 21 Oktober lalu, pasukan ‘task force’ daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU menahan tiga lelaki warga tempatan itu di sekitar Iskandar Puteri, Plentong dan Skudai.
“Susulan daripada tangkapan itu, pada 23 Oktober lalu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD JBU dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat tangkapan kedua terhadap seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga tempatan di sekitar Skudai dan Masai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas 1,363 keping sijil cuti sakit disyaki palsu, tujuh keping kad bank pelbagai jenis, tujuh telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM40,000 dan sebuah motosikal.
Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu kepada pekerja-pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar Johor Bahru.
“Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 31 tahun direman 21 Oktober lalu hingga 27 Oktober lalu dan pada 24 Oktober lalu, dua daripada suspek telah dituduh di mahkamah,” jelasnya.
Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan kerana membuat atau memiliki meterai, plat lancung dan sebagainya dengan niat hendak melakukan pemalsuan serta Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.