Tumpuan :
Nasional

6 ditahan, disyaki terbabit kegiatan tipu tawaran kerja tidak wujud

6 ditahan di sebuah unit pangsapuri mewah di Permas Jaya.- Foto: PDRM

JOHOR BAHRU: Polis menahan enam lelaki tempatan yang disyaki terbabit kegiatan pusat panggilan (call centre) untuk menipu orang ramai dengan tawaran kerja tidak wujud, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek berumur lingkungan antara 25 hingga 38 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah unit pangsapuri mewah di Permas Jaya di sini.

“Dalam serbuan itu, pihak polis berjaya merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan.

“Antaranya, enam komputer pelbagai jenama, 24 telefon bimbit, enam baju, pengecas telefon bimbit dan kunci rumah.

“Hasil siasatan mendapati lima daripada suspek mempunyai satu kes rekod jenayah lampau berkaitan kes tipu tawaran kerja dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, kesemua suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini