MELAKA: Enam termasuk seorang pemandu bas persiaran maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan nahas itu pada jam 8.45 malam.
Ringkas AI
Kemalangan Tragis di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS: Enam maut dalam nahas membabitkan sebuah Toyota Estima, bas persiaran, dan treler di susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka.
Pasukan Penyelamat Dikerahkan: Operasi menyelamat oleh 27 anggota bomba dari BBP Ayer Keroh dan BBP Alor Gajah sedang dijalankan, dengan lima mangsa dari Toyota Estima dan pemandu bas persiaran disahkan maut di lokasi.
Gangguan Trafik 10KM: Trafik arah utara sesak sehingga 10km dan 6km arah selatan, dengan kenderaan ringan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh.
Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Estima dinaiki lapan penumpang termasuk tiga kanak-kanak, bas persiaran yang membawa 29 penumpang termasuk dua pemandu dan sebuah trelar dinaiki dua penumpang.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan dua buah jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Alor Gajah dengan keanggotaan 27 anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.
“Setakat ini lima mangsa yang menaiki Toyota Estima dan seorang pemandu bas persiaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terbabit masih dijalankan pasukan penyelamat.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
PLUS menerusi perkongsian di X memaklumkan sehingga 11.10 malam tadi, semua lorong arah utara dan lorong kanan masih terhalang.
“Trafik terhenti 10km arah utara dan sesak enam kilometer arah selatan. Kenderaan menuju ke utara dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh.
“Sementara lorong ‘Smartlane’ diaktifkan untuk arah selatan, lorong kecemasan boleh dilalui di lokasi,” menurut PLUS.
Kenderaan ringan diminta melalui ‘Smartlane’ dengan berhati-hati.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.