KENINGAU: Enam individu termasuk tiga kanak-kanak terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan jatuh gaung sedalam 15 meter di Kilometer 14, Jalan Keningau-Sook, di sini, hari ini.
Keenam-enam mangsa terbabit iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan dikeluarkan oleh orang awam
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata terdahulu sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan Sook digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.29 petang.
“Setiba di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan bomba EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa cedera sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.