Oleh: Selwam Arjunan
KUALA PERLIS: Feri penumpang dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi yang membawa 567 penumpang terkandas di perairan Kuala Perlis selepas tersangkut di beting pasir akibat dilanda ribut.
Manakala, tiga lagi feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat serta ribut.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata feri yang terkandas berlepas dari Jeti Kuala Perlis pada jam 2.30 petang.
“Feri yang membawa 567 penumpang itu dilaporkan tersangkut di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.
“Selepas ditiup angin kencang, ia menolak feri ke beting pasir menyebabkan feri itu terkandas.
“Bagaimanapun, usaha untuk membawa 567 penumpang yang terkandas di Kuala Perlis itu akan diteruskan pada jam 8 malam ini sebaik saja air pasang,” katanya.
Tambahnya, tiga feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat serta ribut.
“Feri pertama iaitu pada jam 1.30 petang membawa 120 penumpang.
“Manakala feri kedua pada jam 2 petang membawa 149 penumpang dan feri ketiga pada jam 2.30 petang yang membawa 410 penumpang terpaksa berpatah balik demi keselamatan penumpang,” katanya lagi.
Baharin barkata, penumpang tiga trip perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi itu sudah dipulangkan kos tiket dan ada yang menukar perjalanan tiket seterusnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.