ALOR SETAR: Feri yang membawa 567 penumpang yang terkandas di beting pasir sejak petang semalam, selamat tiba di Langkawi pada jam 10.40 malam tadi.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kesemua penumpang terbabit dalam keadaan selamat.
“Selamat sampai (feri) pada jam 10.40 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, ketika ini keadaan cuaca masih hujan lebat di sekitar Kedah dan Perlis.
Media sebelum ini melaporkan, tiga buah feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah ke Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat serta ribut.
Feri pertama iaitu pada jam 1.30 petang membawa 120 penumpang manakala jam 2 petang membawa 149 penumpang dan feri pada jam 2.30 petang yang membawa 410 penumpang terpaksa berpatah balik demi keselamatan penumpang.
Ketiga-tiga feri terbabit dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Langkawi.
Selain itu, sebuah lagi feri iaitu dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 2.30 petang membawa 567 penumpang dilaporkan tersangkut di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.