comscore
Tumpuan :
Nasional

560 kanak-kanak GISBH di rumah perlindungan masih disiasat – KPWKM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kesemua 560 kanak-kanak yang sedang berada di bawah perlindungan dan penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan kes Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada masa ini masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, untuk tempoh ini, kesemua kanak-kanak tersebut telah dan sedang diberi perlindungan dan penjagaan sewajarnya oleh JKM.

“Sehingga 14 Oktober 2024, seramai 560 orang kanak-kanak iaitu 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan kini sedang ditempatkan di Tempat-Tempat Selamat setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPWKM, matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terbabit adalah kembali ke pangkuan keluarga.

Namun, jelasnya, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak berkenaan sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan.

Mengulas lanjut, KPWKM berkata, seramai 884 pegawai JKM terlibat dalam Op Global secara langsung bermula 11 September lalu.

Mereka terdiri daripada Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) dan Pegawai Psikologi meliputi serbuan ke atas 83 premis di seluruh negara.

Dalam operasi itu, JKM bertindak mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak (Akta 611), iaitu pelantikan dan kuasa Pelindung serta Seksyen 17(1)(d) yang menetapkan keperluan perlindungan kanak-kanak.

“Selain itu, tindakan juga diambil berdasarkan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan mengenai pelantikan dan kuasa PDBK.

“Peranan JKM dalam Op Global adalah menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke Tempat Selamat,” katanya.

Sementara itu, mengenai rakaman pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan Ibu atau Bapa Kanak-Kanak Kes GISBH – Op Global pada 9 Oktober lalu, KPWKM memandang serius kes tersebut.

Ujarnya, pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman dengan terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.

“JKM juga telah mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak Op Global ini. Talian khas ini boleh dihubungi di nombor 03-83232190 dan 03-83232191,” katanya.

Pada 11 September lalu, PDRM dan pelbagai agensi berkaitan melancarkan Op Global dan menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini