KANGAR: Sebanyak 48 rumah mengalami kerosakan dalam dua kejadian ribut yang melanda Perlis pada hari ini dan Jumaat lepas.
Ia berdasarkan rekod Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) setakat jam 10.48 pagi tadi.
Sebanyak 48 rumah mengalami kerosakan dalam dua kejadian ribut yang melanda Perlis pada hari ini dan Jumaat lepas. pic.twitter.com/kcpo4nMEZr
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 23, 2024
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, berdasarkan angka yang dikemas kini pihaknya dari semasa ke semasa itu, sebanyak 37 rumah rosak dalam kejadian pagi ini, manakala 11 rumah terjejas pada Jumaat lepas.
“Kebanyakan rumah itu rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin. Kejadian hari ini melibatkan kawasan Kariah Behor Mentaloon, Kariah Tambun Tulang, Kariah Batu 5, Kariah Guar Syed Alwi, Kariah Mata Air, Kariah Oran, Kariah Padang Keria, Kariah Behor Masjid dan Kariah Kurung Batang masing-masing dua rumah.
“Sementara Kariah Bunga Emas, Kariah Padang Besar Kurung Anai, Kariah Chemumar, Kariah Pauh Sanglang, Kariah Kampung Chantik, Kariah Sungai Berembang, Kariah Tok Kaya, Kariah Mengkuang Layar, Kariah Kok Klang, Kariah Kubang Gajah dan Kariah Banggol Sena masing-masing sebuah rumah dan Kariah Longboh (tiga rumah) serta Kariah Sungai Padang (empat rumah).
“Kejadian Jumaat lepas pula membabitkan kawasan Kariah Guar Syed Alwi yang melibatkan tiga rumah rosak manakala Kariah Sungai Batu Pahat, Kariah Sungai Berembang, Kariah Jelempok, Kariah Titi Beratap, Kariah Kampung Sena, Kariah Oran, Kariah Behor Mempelam dan Kariah Sungai Padang masing-masing sebuah rumah terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nazim berkata, kerosakan kecil akan diberikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala kerosakan besar akan dirujuk JKM untuk membolehkan MAIPs menyalurkan bantuan.
“Bagi kerosakan perniagaan dikehendaki melaporkannya kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk MPK panjangkan kepada tindakan agensi pemberi bantuan seperti MAIPs dan agensi berkaitan,” katanya.
Difahamkan kejadian ribut pada Jumaat lepas itu berlaku kira-kira jam 7 pagi, manakala kejadian hari ini terjadi kira-kira jam 2 pagi.
Sementara itu, di Alor Setar, sebanyak tujuh rumah di sekitar daerah Kubang Pasu mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang berlaku awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata kejadian kira-kira jam 2.05 pagi itu turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi antaranya di Kampung Kota Si Puteh, Kandis, Pida 2, Teluk Malik, Changkat Setol dan Kodiang.
“Hujan lebat serta angin kencang berlaku di kawasan berkenaan, kejadian ribut dalam tempoh 35 minit itu menyebabkan beberapa rumah ditimpa pokok selain terdapat pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.
“APM Kubang Pasu menerima laporan berhubung kejadian pada 2.59 pagi. Anggota bertugas telah membuat pemantauan dan pemotongan pokok yang tumbang serta membersihkan kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sekitar kawasan pemantauan dan keadaan kembali pulih seperti biasa.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.