KUALA LUMPUR: Tinjauan yang dijalankan Merdeka Center antara 26 Disember 2022 hingga 15 Januari lalu bagi mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa negara membabitkan 1,209 responden mendapati, 54 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan manakala 25 peratus dilaporkan sebaliknya.
Daripada tinjauan itu juga didapati, 68 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua bulan menerajui negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Selain itu, 20 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri.
Sebanyak 48 peratus pengundi percaya negara kini menuju ke haluan yang betul, berbanding 20 peratus yang percaya mengenai perkara itu pada Oktober 2022.
Tinjauan juga mendapati 43 peratus responden juga kini semakin yakin dengan prestasi ekonomi negara untuk tahun akan datang, meningkat daripada 23 peratus yang dicatatkan pada tinjauan Oktober 2022.
Sebanyak 38 peratus responden juga optimis dengan prospek kewangan peribadi mereka berbanding 26 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2022.
Sekumpulan responden daripada pelbagai kaum di seluruh negara yang dihubungi pusat penyelidikan bebas Merdeka Center bulan lalu didapati mengelak daripada memberikan pandangan, yang menunjukkan sikap berhati-hati selepas empat tahun negara menghadapi ketidakstabilan politik.
Merdeka Center percaya sikap ‘tunggu dan lihat’ yang masih menebal dalam kalangan pengundi menyebabkan mereka mahu kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih dalam menangani isu pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup.
Bagi pertumbuhan ekonomi, 20 peratus bersetuju bahawa kerajaan perlu memberi tumpuan kepada bidang berkenaan, manakala 19 peratus mahu kerajaan menangani masalah kos sara hidup.
Sementara itu, 12 peratus pengundi percaya kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada peningkatan pelaburan dalam ekonomi, dan 10 peratus mahu usaha memerangi rasuah diteruskan dan 9 peratus mahu kualiti pendidikan ditingkatkan.
Tinjauan itu juga mendapati 79 peratus atau majoriti besar pengundi berpuas hati dengan keputusan PRU-15.
Selain itu, sebanyak 83 peratus bersetuju dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10; 77 peratus percaya bahawa Kerajaan Perpaduan boleh mewujudkan kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara.
Sebanyak 75 peratus pengundi menerima keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai pembangkang, dan 66 peratus menerima keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dipimpin Pakatan Harapan (PH).
Berdasarkan keputusan tinjauan itu, Merdeka Center percaya pengundi mahukan kestabilan politik dan Kerajaan Perpaduan diberi ruang membuktikan kemampuan mereka menerajui kerajaan.
Namun, pengundi mengelak berterus-terang mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan kerana mereka mahu melihat sejauh mana kerajaan dapat menangani masalah pertumbuhan ekonomi yang lembap dan peningkatan kos sara hidup.
Dipercayai Belanjawan 2023 akan dinilai untuk menentukan sokongan awam terhadap pentadbiran baharu kerajaan.
Daripada 1,209 responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu, 52 peratus adalah pengundi Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, masing-masing enam peratus Bumiputera Islam dan bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak).
Tinjauan dijalankan melalui panggilan telefon dengan responden dipilih berdasarkan persampelan rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri. – BERITA HARIAN