KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 4,826 orang daripada 1,366 keluarga, pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mangsa kini ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).
Dua lagi PPS, masing-masing menempatkan 71 mangsa kebakaran rumah panjang daripada 15 di Kanowit dan 105 mangsa daripada 25 keluarga akibat tanah runtuh di Miri.
Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 43 dan menempatkan mangsa seramai 5,002 orang daripada 1,406 keluarga.
Daripada 41 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 15 PPS, Bintulu (7), Kuching (5), Samarahan (5) dan Miri (7) dan Sibu (3).
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di seluruh negeri ini hari ini.
Lapan bahagian iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sarikel (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) kini dalam kategori merah iaitu amaran bahaya dengan hukan sangat lebat berterusan dijangka berlaku.
Enam bahagian pula berada dalam amaran kategori jingga apabila diramal hujan lebat berterusan dijangka berlaku iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.