comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 50,000 komputer riba diagih untuk buku teks digital

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, melawat SJK (C) Chung Hwa di Kota Bharu, Kelantan. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pemberian sebanyak 50,000 komputer riba diluluskan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada sekolah di seluruh negara tahun ini, bagi tujuan pembelajaran menggunakan buku teks digital.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, proses membuat agihan akan bermula sebaik peruntukan diluluskan dan akan diselesaikan dalam tahun semasa sekiranya berjalan lancar.

“Agihan akan dibuat mengikut formula yang sedang dibincang dan diperkemaskan supaya semua sekolah mendapat bekalan komputer riba yang boleh digunakan untuk pengajaran, khususnya dalam penggunaan buku teks digital serta lain-lain bahan.

“Video pembelajaran dan contoh ada yang boleh dimuat turun oleh guru apabila ingin menggunakan bahan-bahan ini menerusi komputer riba yang dibekalkan untuk pengajaran di sekolah masing-masing.

“Sekolah di luar bandar tentulah menggunakan secara offline, namun bagi sekolah di bandar yang cukup kemudahannya boleh memuat turun dan membuat capaian melalui internet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Pengoperasian Minggu Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademi 2023/2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa di sini, hari ini.

Pkharuddin berkata, buku teks digital itu sudah 70 peratus siap untuk kegunaan pelajar sejak diperkenalkan pada 2021.

“Penggunaan buku teks digital perlu disokong dengan peralatan, peranti atau komputer riba yang dicapai secara dalam talian yang sudah tentunya memerlukan capaian internet.

“Dengan ini, buku teks digital ini boleh kita bekalkan dalam bentuk ‘storage’ yang boleh dibawa masuk ke dalam peranti atau komputer riba,” katanya.

“Insya-Allah kita bergerak ke arah melaksanakan Dasar Pendidikan Digital dan dalam proses membawanya ke peringkat jemaah menteri.

“Sekiranya diluluskan, hala tuju kita kelak adalah ke arah pendidikan bersifat digital supaya anak-anak mendapat sumber pembelajaran lebih menarik serta difahami dan pada masa sama memberi impak yang besar kepada kefahaman mereka,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini