KOTA TINGGI: Sebanyak 5,000 biji nanas MD2 diagihkan kepada komuniti di Felda Bukit Ramun di sini bagi menjayakan program pelaksanaan tanaman nanas secara sulaman di kebun kelapa sawit.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Omar Bagharib Ali berkata ia adalah projek perintis kepada peneroka Felda.
Nanas ditanam selepas tiga atau empat tahun tanaman kelapa sawit.
“Ini akan dapat menambah hasil kepada peneroka yang ada di Felda ini dan Insya-Allah projek ini baik dan jika berjaya maka kita akan perluaskannya lagi di tempat lain.”
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Tanaman Nanas MD2 Komuniti Felda Bukit Ramun di Dewan Terbuka Felda Bukit Ramun di sini hari ini.
Menyentuh mengenai cuaca panas dan iklim tidak menentu negara ketika ini, Sheikh Omar berkata tanaman nanas tidak terjejas dan tahan lasak dengan cuaca panas.
“Tetapi musim perubahan iklim sekejap panas dan sekejap hujan pastinya ada kesan. Cuma secara umumnya nanas ini adalah sebuah pokok yang tahan lasak dan ia tidak memberikan kesan yang besar kepada pengusaha nanas,” katanya. – GN4 Wires.