Tumpuan :
Nasional

5000 hadiri majlis sempena setahun pentadbiran kerajaan Madani

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran kerajaan Madani di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Beliau yang memakai baju melayu berwarna merah jambu tiba bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada jam 6.20 petang.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sejurus tiba, Ahli Parlimen Tambun itu menyantuni rakyat di ruang jamuan sebelum bergerak ke tempat makan untuk menjamu selera.

Majlis turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar,Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan menteri kabinet lain.

Difahamkan, majlis ini dihadiri lebih 5,000 orang yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, penjawat awam dan pelajar tahfiz.

Majlis dimulakan dengan jamuan makan disusuli solat maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat.

Ia kemudian diteruskan dengan amanat Perdana Menteri sebelum majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.

Loading...
Terkini