Tumpuan :
Nasional

500 penduduk di Kuala Krai bersiap selamatkan diri di atas bukit

Tinjauan mendapati beberapa jalan utama di Kota Bharu – Kuala Krai dilanda banjir pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi. – Foto NSTP

KUALA KRAI: Hampir 500 penduduk di Kampung Pasir Era, di sini, kini bersiap sedia untuk menyelamatkan diri di atas bukit selepas perkampungan mereka terkepung susulan jalan utama dinaiki air setinggi empat meter.

Penduduk, Nazira Abdul Ghani, 48, berkata, hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan air Sungai Kelantan di Kuala Krai melimpahi tebing sehingga menenggelamkan jalan di kampung berkenaan.

Sehingga pagi ini juga, hujan masih belum berhenti dan paras air sungai juga menunjukkan trend menaik.

“Lebih membimbangkan anak saudara saya berpantang di rumah bersama bayinya yang berusia 10 hari dan pada masa sama, ibu saya, Zawiah Mat Salleh, 81, juga tidak sihat selain sakit tua.

“Kami tidak berani mengambil risiko untuk mengharungi air banjir kerana arusnya yang deras serta dalam,” katanya ketika dihubungi.

Nazira berkata, bekalan makanan juga semakin berkurangan disebabkan kedai runcit yang menjual barang keperluan harian juga semakin kekurangan stok.

“Saya bimbang jika keadaan berterusan begini, kami akan terputus bekalan makanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini