RANTAU PANJANG: Hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati, seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah.
Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Suasana di Sungai Golok antara jam 6.30 pagi hingga jam 8 begitu meriah dengan pergerakan bot dan pelajar dari Thailand datang ke Malaysia.
Malah, ada juga penduduk yang tinggal di sini bersekolah di Golok, Thailand namun tidak begitu ketara.
Kebanyakan mereka dari Thailand bersekolah di sembilan buah sekolah di sekitar Rantau Panjang termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SMK Rantau Panjang, SK Tok Deh, SK Gual Tinggi dan Sekolah Ugama Arab Lubok Gong.
Pelajar SMK Rantau Panjang yang dikenali sebagai Ana, 17, berkata, dia dan enam adik beradiknya memang bersekolah di Rantau Panjang sejak Tahun Satu.
“Ibu saya orang Malaysia, ayah saya orang Thailand dan kami tinggal di Golok, Thailand. Namun semua adik beradik bersekolah di sini.
“Setiap pagi, kami akan naik bot untuk ke sekolah dan caj hanya dikenakan RM1. Memang sejak dulu kami akan naik bot dan selepas itu berjalan kaki ke sekolah.
“Di Golok pun ada sekolah juga, namun saya dan adik beradik semua bersekolah di sini,” katanya.
Semalam media melaporkan, polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.
Beliau sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.