Tumpuan :
Nasional

500 pekerja ladang sawit dan keluarga terperangkap selama 5 hari akibat banjir

Pekerja ladang menaiki traktor untuk keluar dari kediaman mereka yang dinaiki air.

HULU DUNGUN: Lebih 500 pekerja ladang dan ahli keluarga di ladang kelapa sawit Pinang Merah di sini terperangkap selama 5 hari setelah jalan utama menghubungkan rumah mereka dinaiki air sedalam 1 meter.

Hujan lebat berterusan menyebabkan air naik mendadak ke kawasan perumahan pekerja dan turut melimpah ke jalan yang dilalui mereka.

Menurut penduduk, berikutan itu sebahagian pekerja dan keluarga mereka tidak sempat keluar untuk berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan.

Rumah mereka turut dinaiki air banjir sedalam setengah meter.

Namun mereka bernasib baik kerana pihak pengurusan ladang menyediakan tempat pemindahan sementara sehingga menunggu air surut.

Seorang pekerja ladang, Mohd Azman Abdullah berkata, 31 keluarga sempat berpindah keluar menaiki kereta pada waktu pagi. Namun, pada petangnya tidak dapat keluar kerana air sudah naik. Mereka cuma boleh keluar menaiki kenderaan berat sahaja.

Seorang lagi pekerja ladang, Mohd Amin Alias pula berkata, agak menyusahkan untuk menaiki bot setiap hari.

“Susah juga naik dengan bot hari hari hari ni kira 5 hari dah ni nak keluar lah.”

Walaupun cuaca cerah hari ini dan paras air mulai surut, namun pekerja dan ahli keluarga mereka masih tidak dapat keluar melainkan menggunakan kenderaan berat seperti jengkaut atau lori mengangkut sawit.

“Terpaksa naik kaburaterlah kalau tak nak harung air dalam dan berjalan 1, 2 kilometer,” kata Aina Yati Abdul Hadi.

Namun ada yang juga yang bertindak meredah dengan berjalan kaki sehingga 1 kilometer.

Banjir di Terengganu mulai surut dengan 244 mangsa masih menghuni di 4 PPS di 2 daerah iaitu di Dungun sebanyak 238 mangsa di 3 PPS, dan Kuala Nerus 6 mangsa di 1 PPS.

Loading...
Terkini